Lelaki ditahan angkara pukul isteri kerana perempuan simpanan

Lelaki ditahan angkara pukul isteri kerana perempuan simpanan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki ditahan kerana memukul isterinya selepas berlaku perselisihan faham membabitkan perempuan simpanan dalam kejadian di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga berusia 30-an mengalami kecederaan pada tisu badannya.

“Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu sebelum mangsa dipukul di bahagian badannya.

“Motif kejadian dipercayai kerana suami mempunyai perempuan simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan pada hari yang sama dan dibebaskan selepas keterangannya diambil polis.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top