am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis menahan lelaki disyaki memukul anjing peliharaannya menggunakan tukul di Taman Ria, Bercham, di sini yang videonya tular, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 42 tahun yang juga mekanik itu ditahan pada 3 petang tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku malam Sabtu lalu dan anjing yang dipukul adalah haiwan peliharaan suspek yang mempunyai lesen sah.
“Anjing terbabit sudah diselamatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) bagi tujuan rawatan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan 17 rekod lampau kesalahan narkotik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Binatang 1953 iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyeru orang awam supaya segera melaporkan insiden membabitkan gangguan haiwan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau JPV untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd