Washington: Lelaki yang lompat ke arah hakim di mahkamah di Amerika Syarikat Januari lalu, dipenjarakan sehingga 65 tahun.
Pada perbicaraan di Las Vegas pada 10 Disember lalu, Hakim Susan Johnson menjatuhkan hukuman penjara antara 26 hingga 65 tahun itu kepada Deobra Redden, 31.
Johnson berkata, perlakuan Redden adalah serangan terhadap badan kehakiman.
“Walaupun tidak ada persoalan anda mempunyai beberapa masalah penyakit mental, tidak ada keraguan doktor bahawa anda tahu perbezaan antara betul dan salah,” katanya.
Redden mengaku bersalah pada perbicaraan awal terhadap beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh berhubung serangan di mahkamah pada Januari lalu.
Terdahulu, Redden memberitahu hakim dia tidak jahat.
“Saya tahu saya bukan orang yang jahat.
“Saya percaya anda semua tahu saya bukan orang jahat,” katanya.
Sementara itu, peguam Redden, Carl Arnold berkata, anak guamnya bertarung dengan penyakit mental yang teruk sepanjang hayatnya dan tidak mengambil ubatnya pada masa kejadian.
“Dia sangat menyesal. Kali pertama dia melihat keseluruhan video… reaksinya sangat mendalam. Hampir sahaja dia mahu muntah.
“Dia menggelar dirinya raksasa kerana menyakiti wanita itu,” katanya.
Pada Januari lalu, Redden, melompat ke arah bangku Hakim Mary Kay Holthus ketika beliau mahu menjatuhkan hukuman kepada lelaki itu atas jenayah dilakukannya.
Rakaman serangan yang tular itu menunjukkan, Redden bertindak agresif dengan menumbuk tanpa sasaran dan tidak dapat dikawal, walaupun seorang marsyal, kakitangan mahkamah dan peguam cuba menghalangnya.
Serangan itu menyebabkan hakim terkejut, manakala seorang marsyal memerlukan rawatan hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd