Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dalam muara Sungai Muda

Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dalam muara Sungai Muda

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam muara Sungai Muda berhampiran jeti pendaratan ikan Pasar Bisik di Kuala Muda, di sini tengah hari tadi.

Mangsa, Zubir Hassan yang berumur lingkungan 30-an dipercayai terjatuh semasa berada di atas salah sebuah jeti di situ sebelum hilang dibawa arus.

Beberapa nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan sejak pukul 3 petang tadi oleh bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Bagaimanapun, operasi SAR dihentikan kira-kira pukul 7 malam dan akan disambung semula pagi esok. Arus sungai agak kuat dan cuaca masih mendung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.55 tengahari sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi.

“Anggota mula melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top