Lelaki didenda RM4,000, mengaku muat naik kandungan jelik, hina PM

Lelaki didenda RM4,000, mengaku muat naik kandungan jelik, hina PM

am@hmetro.com.my

Bachok: Lelaki didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan video menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas didapati memuat naik sebuah video mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi TikTok.

Suspek juga turut menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri yang dianjurkan pada 12 April lalu di Pantai Irama, Bachok.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek membuat kenyataan yang seolah-olah mengajak orang ramai supaya tidak menyukai dan memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri.

“Polis menerima laporan pada 11 April dan menahan suspek serta merampas telefon bimbitnya untuk siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit suspek juga dibuat dan didapati terdapat kandungan video dan gambar lucah.

Bagaimanapun, katanya, siasatan bagi kesalahan lain masih diteruskan sementara menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top