Lelaki didakwa tunjuk pistol dalam pertengkaran di medan selera

Lelaki didakwa tunjuk pistol dalam pertengkaran di medan selera

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tular satu rakaman video seorang lelaki menunjukkan objek menyerupai pistol dalam satu insiden pertengkaran dikatakan berlaku di medan selera di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Dalam rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 26 saat itu, kelihatan tiga individu daripada dua lelaki dan seorang wanita terbabit dalam insiden terbabit.

Dua lelaki itu kelihatan bertengkar manakala wanita terbabit cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku.

Ketika bertengkar mulut, seorang lelaki dilihat menyelak kemeja T dipakainya hingga menampakkan satu objek berupa pistol yang tersisip di pinggang.

Bersama rakaman video yang tular, terdapat mesej dipercayai daripada pengirim video berkenaan mendakwa insiden berkenaan berlaku beberapa hari lalu.

Kejadian dikatakan berlaku antara pelanggan dengan pengurus medan selera terbabit.

Pengurus berkenaan dikatakan menegur perbuatan seorang pelanggan yang merokok di situ dan teguran itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelanggan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang dihubungi BH memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, kita menggesa mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu untuk segera tampil membuat laporan polis,” katanya.

Maklumat berkaitan kejadian itu juga boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Selangor menerusi talian 03-2052 9999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top