Lelaki dibunuh, ditanam dalam kolah, 7 termasuk majikan didakwa esok

Lelaki dibunuh, ditanam dalam kolah, 7 termasuk majikan didakwa esok

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Dituduh mencuri wang tunai lebih RM40,000 serta barang kemas, seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai dipukul sehingga mati sebelum mayatnya diletakkan di dalam kolah dan ditimbus dengan tanah.

Mangsa yang berusia lewat 20-an itu dipercayai bekerja sebagai tukang rumah di daerah ini dan menetap bersama majikannya di sebuah kawasan perumahan, Jalan Kampung Sungai Baru, di sini sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan pada jam 10.30 malam pada 28 Januari lalu, daripada seorang wanita memaklumkan suaminya ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di kawasan perumahan, Jalan Kampung Sungai Baru.

Beliau berkata, punca kejadian itu adalah disebabkan majikan si mati menuduhnya mencuri wang tunai sebanyak RM40,150, rantai emas dan subang hidung pada 4 Januari lalu di rumah berkenaan.

“Majikan si mati (suspek kejadian) ada membuat laporan polis berhubung kes kehilangan itu yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Suspek turut menahan si mati dan isterinya serta bapa mangsa yang mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sejak sebulan lalu dan memukul si mati untuk mendapatkan semula wang tunai yang hilang itu.

“Si mati dipercayai turut dipukul beberapa individu dipercayai etnik Rohingya. Si mati dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam pada tarikh dan waktu dia ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini, yang turut menambah mangsa mempunyai tiga orang anak.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa ditutup dengan kain cadar, di masukkan ke dalam kolah bilik air sebelum ditimbus dengan tanah di sebuah rumah berhampiran kawasan itu.

Beliau berkata, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari kolah air dan hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai mati lebih dari 24 jam dan terdapat kesan ikat di kaki dan tangan, kesan lebam dan luka akibat pukulan benda tumpul di kedua-dua paha, kaki dan belakang badan.

“Lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga suspek pertama ditahan berikutan dalam rakaman video dia sedang memegang tali dan memukul di mati.

“Rumah tempat mangsa dipukul turut di geledah dan ditemui senjata serta tali yang digunakan.

“Suspek pertama turut mempunyai rekod Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Forensik dan patalogi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Wan Azharuddin berkata, polis turut menahan enam lagi suspek etnik Rohingya untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top