Lelaki dibunuh, ditanam dalam kolah

Lelaki dibunuh, ditanam dalam kolah

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai dipukul hingga mati sebelum mayatnya disorok dalam kolah bilik air dan ditimbus dengan tanah, dipercayai akibat dituduh mencuri wang tunai lebih RM40,000 serta barang kemas.

Mangsa yang berusia lewat 20-an itu bekerja sebagai tukang rumah dan menetap bersama majikannya di sebuah kawasan perumahan, Jalan Kampung Sungai Baru, di sini sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.30 malam pada 28 Januari lalu daripada seorang wanita yang memaklumkan suaminya ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di kawasan perumahan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tuduhan majikan yang mendakwa mangsa mencuri wang tunai RM40,150, rantai emas dan subang hidung pada 4 Januari lalu.

“Majikan mangsa (suspek kejadian) ada membuat laporan polis berhubung kes kehilangan itu yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Suspek pernah menahan mangsa dan isterinya serta bapa mangsa yang mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sejak sebulan lalu dan memukul mangsa untuk mendapatkan semula wang tunai yang hilang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mangsa yang mempunyai tiga anak itu dipercayai dipukul beberapa individu dipercayai etnik Rohingya sehingga mati.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa ditutup dengan kain cadar, dimasukkan ke dalam kolah bilik air sebelum ditimbus dengan tanah di sebuah rumah berhampiran kawasan itu.

“Pada 28 Januari lalu, pasukan forensik mengeluarkan mayat mangsa dari kolah air itu dan hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai mati lebih dari 24 jam.

“Ada kesan ikatan di kaki dan tangan, kesan lebam, serta luka akibat pukulan benda tumpul di kedua-dua paha, kaki, dan belakang badan,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun yang juga suspek pertama ditahan berikutan terdapat dua rakaman video yang menunjukkan dia memegang tali dan memukul mangsa.

“Rumah tempat mangsa dipukul turut digeledah dan ditemukan senjata serta tali yang digunakan.

“Polis turut menahan enam lagi suspek etnik Rohingya untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Katanya, kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top