Lelaki dakwa dagu cedera terkena benang di SUKE buat laporan esok

Lelaki dakwa dagu cedera terkena benang di SUKE buat laporan esok

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mendakwa dagunya tercedera akibat terkena benang yang melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai akan membuat laporan polis esok.

Pemilik akaun X yang dikenali sebagai MuasRosdi berkata, dia akan berjumpa dengan Ketua Balai Polis Ampang Jaya untuk membuat laporan itu.

“Pihak SUKE juga sudah menghubungi dan mengambil keterangan berkaitan kejadian itu, harap rondaan untuk semak keadaan jalan dapat diperbanyakkan selepas ini.

Alhamdulillah terima kasih pada yang mendoakan. Esok aku akan berjumpa ketua balai polis Ampang untuk membuat laporan,” katanya.

Individu tersebut memuat naik hantaran tersebut selepas polis memaklumkan bahawa pasukan keselamatan itu mengesan satu paparan berkaitan insiden terbabit yang tular di laman media sosial semalam.

Paparan tersebut menunjukkan seorang individu yang menyatakan bahawa dagunya koyak akibat terkena benang yang melintang di jalan tersebut pada jam 6.30 petang hari yang sama. – MalaysiaGazette