Lelaki cedera tersepit dalam kemalangan 7 kenderaan

Lelaki cedera tersepit dalam kemalangan 7 kenderaan

am@hnetro.com.my

Kuantan: Lelaki cedera selepas tersepit dalam kenderaannya selepas terbabit kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Cherating di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan tujuh kenderaan itu membabitkan sebuah treler, lori, kenderaan pacuan empat roda dan empat kereta dalam kejadian pada 10 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat.

“Ketika tiba di lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 27 kilometer dari balai mendapati tujuh kenderaan terbabit kemalangan dipercayai berlanggar secara sebaris dari arah belakang.

“Kemalangan itu menyebabkan seorang cedera tersepit di dalam sebuah kereta Perodua Myvi, manakala 13 mangsa dalam kenderaan lain selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulfadli berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Mangsa diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top