Lelaki bunuh ibu kandung diarah jalani penilaian psikiatri

Lelaki bunuh ibu kandung diarah jalani penilaian psikiatri

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang pengawal keselamatan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya minggu lalu, diperintahkan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan.

Tertuduh, Abd Rahman Harun, 43, yang mempunyai sejarah sakit mental, hanya menganggukkan kepalanya ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Isah Salleh, 70, di rumah keluarga mereka di Kampung Bok-Bok, Derga, antara 7 hingga 8 pagi pada 2 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Huda memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu, beliau memohon supaya tertuduh dihantar menjalani penilaian psikiatri selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan tertuduh akan dihantar ke Hospital Hulu Kinta, Perak, untuk pemeriksaan pada 11 Mac ini.

Mahkamah turut menetapkan 10 April depan untuk keputusan laporan penilaian psikiatri.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai mengamuk sebelum membunuh ibunya sendiri yang ditemui dengan kesan terbakar di sebuah rumah kediaman di Jalan Tok Keling, di sini, pada 2 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top