Polis Daerah Rembau baru-baru ini berjaya mengesan penipuan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang sanggup buat laporan palsu semata-mata nak dapatkan tuntutan insurans untuk keretanya.
Menurut laporan, lelaki itu datang ke IPD Rembau pada 21 Disember lalu mendakwa dia telah menjadi mangsa samun sehari sebelum itu.
Siasatan bongkar laporan palsu dibuat
Dalam ceritanya, dia mendakwa dua individu tak dikenali telah menahannya pada jam 10.22 malam dan melarikan barang peribadi serta keretanya, sebuah Audi.
Namun, selepas siasatan dijalankan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, pihak polis mendapati cerita tersebut hanyalah rekaan semata-mata.
Rupanya nak tuntut insurans kereta Audi
Ketika disoal siasat, lelaki tersebut akhirnya mengaku laporan itu dibuat semata-mata untuk menuntut insurans bagi kereta Audi tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadir Bin Shaik Mohamed, kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Kalau sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali membuat laporan palsu kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga menyusahkan pihak berkuasa yang sepatutnya fokus pada kes jenayah sebenar.
#OhmediaNasihat
Ini pengajaran buat kita semua, jangan sesekali guna penipuan untuk kepentingan sendiri. Membuat laporan palsu bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi boleh memudaratkan diri dan orang lain. Sentiasa utamakan integriti dan jujurlah dalam setiap tindakan, sebab hidup ini lebih mudah bila kita bersikap jujur.