Lego tangguh hasrat hasilkan ‘batu-bata’ dari botol kitar semula

Lego tangguh hasrat hasilkan ‘batu-bata’ dari botol kitar semula

BILLUND – Lego, syarikat gergasi permainan telah membatalkan rancangan untuk membuat ‘batu batanya’ daripada botol kitar semula selepas mendapati bahan baharu yang akan digunakan tidak mengurangkan pelepasan karbon.

Meskipun begitu, Lego kekal komited untuk membuat ‘batu-batanya’ daripada bahan mampan.

Pada tahun 2021, Lego menyasarkan untuk menghasilkan ‘batu-bata’ yang tidak mengandungi minyak mentah dalam tempoh dua tahun.

Pada masa ini, ‘batu-bata’ Lego dibuat menggunakan acrylonitrile butadiena stirena (ABS), plastik yang diperbuat daripada minyak mentah.

Langkah itu, yang pertama kali dilaporkan dalam Financial Times, akan dilihat sebagai satu langkah kebelakang selepas Lego mahu menambah baik kelayakan hijaunya.

Seperti banyak syarikat lain, Lego telah meneroka bahan alternatif kepada plastik kerana kemampanan menjadi lebih penting kepada pelanggan.

Salah satu cabarannya ialah mencari bahan yang cukup tahan lama untuk bertahan selama beberapa generasi.

Pada 2021, Lego berkata ia telah membangunkan ‘batu-bata’ prototaip yang diperbuat daripada botol polietilena tereftalat (PET), dengan beberapa bahan kimia lain.

Harapannya ialah bahan itu boleh menawarkan alternatif kepada ‘batu bata’ berasaskan minyak.

Tetapi kini Lego mendedahkan penggunaan menggunakan PET kitar semula tidak mengurangkan pelepasan karbon.

Sebabnya, langkah tambahan diperlukan dalam proses pengeluaran, yang bermakna ia perlu menggunakan lebih banyak tenaga.

Akibatnya, ia memutuskan untuk tidak meneruskan penghasilan ‘batu-bata’ daripada bahan tersebut.

Ia berkata, Lego kini sedang menguji dan membangunkan batu bata yang diperbuat daripada “pelbagai alternatif bahan mampan”.

Ketua Eksekutif Lego, Niels Christiansen berkata: “Kami menguji beratus-ratus bahan. Cuma tidak dapat mencari bahan yang sewajarnya”.

Tetapi jurucakap syarikat itu kekal komited untuk membuat ‘batu-bata’ Lego daripada bahan mampan menjelang 2032.

“Kami melabur lebih AS$1.2 bilion dalam inisiatif kemampanan dalam tempoh empat tahun hingga 2025 sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk beralih kepada bahan yang lebih mampan dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 37% menjelang 2032,” ujarnya. – Agensi