am@hmetro.com.my
Putrajaya: Di tengah-tengah kesibukan Bazar Ramadan Putrajaya, gerai Mi Rebus Haji Wahid terus menjadi tumpuan ramai.
Keenakan mi kuah pekat yang diwarisi sejak lebih 70 tahun lalu menjadikannya pilihan utama pelanggan untuk juadah berbuka puasa.
Pengusaha yang juga cicit Haji Wahid, Intan Syazwani Nor Faizal, 28, berkata, permintaan yang tinggi membuatkan mereka kembali berniaga di bazar ini untuk tahun keenam berturut-turut.
Dia mula menyediakan bahan-bahan selepas sahur, dan kuah mi ini menggunakan resipi rahsia turun-temurun yang menjadi ‘senjata’ utama mengekalkan rasanya.
Katanya, setiap hari, kira-kira 60 kilogram mi terjual, dilengkapi dengan keropok udang kering, daun kucai, tauge, cili hijau, limau nipis dan bawang goreng.
“Keunikan mi rebus ini terletak pada keropoknya yang rangup, hasil campuran tepung, hampas bawang dan udang kering,” katanya.
Sejarah perniagaan Mi Rebus Haji Wahid bermula sejak 1918, apabila Haji Wahid menjual mi secara kandar sebelum menetap di Plaza Angsana, Johor Bahru, pada 1997.
Kini, legasi ini diteruskan dengan mengekalkan cita rasa tradisi yang berbeza daripada mi rebus utara dan lain-lain.
Syazwani berkata, walaupun harga sebungkus mi meningkat daripada RM6 kepada RM8, manakala mi rebus ‘gear box’ kambing pula dijual pada harga RM18 disebabkan kenaikan kos bahan mentah, pelanggan tetap setia kepada mi rebus ini.
Katanya, selain di bazar Ramadan, mi rebus ini juga boleh dinikmati sepanjang tahun di Medan Selera Presint 9 di sini, yang diusahakan bersama keluarga sejak 2006.
“Kami pastikan perkhidmatan pantas supaya pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati mi rebus ‘legenda’ ini,” tambahnya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd