Lee Je Hoon sebak sambutan peminat Malaysia

Lee Je Hoon sebak sambutan peminat Malaysia

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Lee Je Hoon, 40, seronok bukan kepalang akhirnya berkunjung dan bertemu peminat di Malaysia buat julung kali pada acara JeeHoon’s Favorite 2024 Asia Tour, di Dewan Plenary KLCC, di sini, hari ini.

Je Hoon berkata, melihat sambutan peminat di sini membuatkan lara di hatinya hilang serta-merta. Dia mengakui berdepan dugaan emosi kebelakangan ini dan terubat dengan sokongan hebat itu.

“Ini pertama kali saya datang ke Malaysia. Biasanya lawatan pertama akan terasa janggal, tetapi apabila melihat peminat berkumpul di lapangan terbang semalam, saya rasa sangat dihargai.

“Baru-baru ini pun saya ada merasa hilang semangat, namun sekarang sudah pulih. Saya sentiasa bayangkan sasaran untuk dicapai dan berharap dapat realisasikannya,” katanya.

Je Hoon jelas mahu meninggalkan impak tersendiri dan kenangan indah buat semua yang hadir pada acara berdurasi lebih dua jam itu. Segala jenis tugasan pun dia sahut termasuk menyanyi.

“Saya praktis macam mana pun untuk nyanyian saya, tidak akan meningkat. Tapi semua ini istimewa buat kamu,” katanya.

Je Hoon turut berjanji mahu kembali ke sini sekerap yang boleh kerana belum puas hiburkan peminat di Malaysia. Dia takkan henti hargai sokongan dari negara ini.

“Terima kasih banyak-banyak terus menyayangi dan terus menonton lakonan saya. Saya janji akan terus bekerja-keras dan saya juga akan kembali untuk hiburkan kamu lagi,” katanya.

Je Hoon menghiburkan semua yang hadir dengan dua lagu. Selainnya, dia berkongsi foto simpanan peribadi, menjawab soalan peminat, turuti permintaan peminat dan adakan sesi foto.

Pelakon Korea Selatan itu sememangnya cukup digilai ramai menerusi drama hit seperti Taxi Driver, Move to Heaven, Signal, dan lain-lain. Manakala, filem dibintanginya termasuk Escape, Time to Hunt, dan I Can Speak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top