Ledakan 'jejak kasih' M2M

Ledakan 'jejak kasih' M2M

Georgie Joseph

georgie@hmetro.com.my

(Yang menemubual M2M secara maya baru-baru ini)

PERTEMUAN jejak kasih sekitar April tahun lalu menjadi titik mula M2M untuk ‘menghidupkan’ semula karier kumpulan pop duo itu walaupun lebih 20 tahun anggotanya, Marion dan Marit tidak bertemu.

Marion atau nama sebenarnya Marion Raven, 41, berkata, ada hikmah besar di sebalik pertemuan itu. Mereka mendapat pelbagai isyarat penting yang tepat masanya untuk aktif semula.

Pertemuan itulah juga mencetus perbincangan, perancangan dan pelaksanaan mengadakan siri jelajah ‘reunion’ mereka. Mereka akui terkejut M2M masih digilai di seluruh dunia.

“Sebenarnya Marit menziarah saya di rumah dan kami bersembang selama lima jam selepas lebih 20 tahun tidak berhubung. Perbualan awal kami cuma sekadar bertanya khabar saja.

“Banyak perkara kami bualkan dan menyedari masih terlalu ramai orang mendengar muzik kami. Kami terkejut kerana lebih sejuta mendengar lagu-lagu kami setiap bulan.

“Sewaktu Marit baru hendak pulang, kami berfikir perlukah kami aktif semula? Itulah yang pelik mengenainya kerana perasaan itu cukup kuat dalam diri kami,” katanya mengimbau pertemuan itu.

Marion berkata, banyak kebetulan yang berlaku disebabkan pertemuan itu termasuklah ulang tahun ke-25 M2M pada tahun ini. Dia percaya kebetulan itu berlaku tepat pada masanya.

“Banyak isyarat-isyarat kecil kami rasa. Misalnya, ulang tahun kami akan datang dan juga lagu The Day You Went Away yang kembali meledak. Kami berpandangan dan tersenyum saja.

“Kami sangat yakin memang sudah masa untuk lakukannya. Memang segalanya jatuh pada masa yang sangat tepat,” katanya.

Cukup fenomena pada era awal tahun 2000, karier duo dari Norway itu bagaimanapun bertahan sehingga 2002 saja. Mereka kemudian berpecah dan memilih haluan masing-masing.

Bagaimanapun, impak ditinggalkan lagu-lagu mereka sukar digugat. Bahkan, duo berkenaan masih lagi memiliki peminat di seluruh dunia sehingga kini selain muzik mereka jadi siulan.

Lebih menyentuh, M2M juga mencetus inspirasi kepada ramai pemuzik baharu dan jadikan mereka sumber rujukan.

Marit atau nama sebenarnya Marit Larsen, 42, mengakui memang ramai datang meminta nasihat dan tunjuk ajar.

“Rasa macam tak percaya pula sampai ke tahap itu. Kami rasa diri masih lagi hijau. Tapi memang banyak nasihat yang kami ingin berikan dan paling sekali adalah tak payah terburu-buru.

“Perasaan itu akan ada di awal kemunculan dan melihat sendiri ribuan lagu dilancarkan setiap minggu. Permintaan untuk hasilkan karya baharu sangat gila. Amat penting untuk kita ambil masa.

“Tapi hanya ada satu peluang untuk buat lagu sulung dan tinggalkan impak. Jangan terburu-buru untuk menyelami diri kita dan hendak menjadi artis yang bagaimana,” katanya.

Marit juga kagum dengan artis terkini yang sudah cukup berani dan terbuka ‘menjual’ muzik mereka di internet. Namun, dia tetap percaya bahawa setiap artis perlu kawal keghairahan mereka.

“Saya seronok melihat mereka yang berani dan redah tulis lagu kemudian kongsikan ke internet. Tapi, apabila melakukan itu, mereka secara langsung akan terdedah dengan pelbagai maklum balas.

“Rasanya lebih indah jika melindungi masa keemasan pada awal-awal itu ketika menulis untuk diri-sendiri saja dulu. Namun semestinya boleh nyanyikan depan kawan-kawan,” katanya.

Nyanyi semua lagu wajib di konsert

Dalam pada itu, M2M sangat teruja bakal singgah di Malaysia untuk konsert jelajah The Better Endings pada 27 April ini di Arena of Stars, Resorts World Genting, Pahang.

Kali terakhir mereka ke sini adalah lebih dua dekad lalu.

Duo terbabit memang sudah tidak sabar melawat kembali negara ini selepas sekian lama. Masih segar dalam ingatan mereka kenangan manis sewaktu kunjungan terdahulu.

“Kami tidak sabar hendak menikmati makanan di Malaysia kerana kami pun memang penggemar makanan Asia. Seingat saya, rakyat Malaysia memang cukup menyenangkan,” kata Marion.

Bercerita mengenai perjalanan konsert pula, M2M menetapkan repertoire dipersembahkan terdiri daripada semua lagu hit mereka. Mereka mahu penonton kenal dan menyanyi bersama lagunya.

“Kami sudah buat latihan penuh dengan band yang mengiringi nanti. Tapi latihan tambahan masih perlu dilakukan sendiri di rumah kerana perlu belajar semula banyak lagu kami.

“Tapi agak lucu sebenarnya kerana kami masih ingat lagu-lagu kami walaupun dari zaman muda. Kalau bab stamina, sebenarnya dalam 20 tahun ini pun banyak konsert kami jayakan sendiri.

“Semoga peminat akan menyanyi bersama dengan kuat lagu-lagu kami nanti. Pasti akan membantu semarakkan lagi tenaga kami atas pentas,” kata Marit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top