GEORGE TOWN: Kerajaan negeri bersetuju untuk menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia di Batu Kawan kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda penghargaan terhadap legasi Perdana Menteri Kelima itu di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut diputuskan sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang kelahiran Bayan Lepas, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan hadiah terbesar Allahyarham kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Parlimen pada 2003.
“Impaknya, projek jambatan kedua itu telah merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya,” katanya.
Jelas Kon Yeow, nama Bandar Cassia juga diberikan oleh Tun Abdullah ketika hayatnya iaitu pada 24 Ogos 2004 dan penggunaan nama tersebut sebagai bandar baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan pada 10 Ogos 2016.
Kon Yeow berkata, bendera negeri juga akan dikibar separuh tiang sebagai tanda penghormatan, Jumaat ini.
Katanya, pengibaran bendera negeri secara separuh tiang itu akan membabitkan semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
“Pemilik-pemilik premis bukan kerajaan juga diseru untuk berbuat demikian sebagai tanda penghormatan,” katanya. – UTUSAN