am@hmetro.com.my
Chukai: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai serta hakisan pantai di Terengganu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebahagian besar peruntukan adalah terdiri daripada projek pemuliharaan muara sungai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM999.86 juta.
Beliau berkata, baki selebihnya adalah projek-projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM581.39 juta
“Untuk Terengganu, keseluruhannya bagi projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai hakisan pantai di negeri Terengganu itu pun belum selesai (seperti) di Pantai Marang.
“Tak salah saya tapi setakat ini sudah diluluskan RM2.243 bilion termasuk pemuliharaan muara sungai dan tebatan banjir RM581.39 juta dan Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak RM1.836 bilion bagi Belanja Pembangunan di Terengganu pada tahun ini berbanding sebanyak RM1.597 bilion pada 2024.
Katanya, peruntukan itu menunjukkan pertambahan sebanyak RM239 juta berbanding peruntukan pada 2024.
“Merujuk sumber Data MyProjek sehingga 10 Mac lalu, negeri Terengganu mempunyai 432 program/projek yang telah diluluskan.
“Sehingga 10 Mac lalu, sebanyak 1,363 projek yang sudah siap dan ini setelah diambil kira projek-projek yang lama kos keseluruhan RM60.10 bilion merangkumi semua negeri di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 83 projek yang sudah siap di Terengganu sahaja bernilai RM1.826 bilion,” katanya.
Anwar sebelum itu menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu bersama Ahmad Samsuri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di sini.
Turut hadir pada mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih satu jam itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali.
Sejurus selesai mesyuarat, Anwar terus mengadakan sesi ‘walkabout’ di Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd