Lebih banyak pihak diseru bantu sekolah terjejas banjir

Lebih banyak pihak diseru bantu sekolah terjejas banjir

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada sekolah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, hal ini penting kerana dapat membantu sekolah terbabit banjir mendapatkan peralatan serta bantuan sepatutnya bagi memastikan perjalanan takwim dan pembelajaran di sekolah terjejas berjalan lancar.

“Namun, saya difahamkan ada pihak yang memberikan sumbangan secara terus kepada kumpulan sekolah itu, tanpa melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

“Apapun, setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak yang sudi membantu sekolah ini, tidak kira daripada apa bentuk sumbangan sekalipun,” katanya selepas program sumbangan Sharp Malaysia kepada KPM di ibu pejabat Sharp Malaysia, Seksyen 27 di sini, hari ini. 

Dalam program tersebut, Sharp Malaysia menyumbangkan barangan elektrik bernilai RM388,000 kepada 100 buah sekolah di Selangor dan Pahang yang mengalami bah pada pertengahan Disember tahun lalu.

Penyerahan tersebut disampaikan kepada Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor iaitu Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri Datin Nor Faridah A. Bakar dan wakil dari Pahang, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Ab. Muhaimin Ab. Hamid.

Hang Soon menjelaskan, kesemua sekolah terbabit dipilih oleh PPD dua negeri itu, yang mana sekolah itu merupakan antara sekolah yang terkesan teruk akibat bencana itu. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Sharp Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (Sharp Malaysia), Ting Yang Chung berkata, antara barangan elektrik yang diberikan kepada kesemua sekolah itu seperti penghawa dingin, kipas siling, televisyen dan lain-lain lagi. 

Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan setelah melihat banyak sekolah yang barangan perkakasannya rosak akibat bencana yang berlaku pada pertengahan Disember tahun lalu. 

“Ini adalah sumbangan kecil kami kepada sekolah bagi mengurangkan kerugian yang dialami mereka. Pihak Sharp Malaysia bersedia membantu sekolah-sekolah ini sekiranya mereka ingin memerlukan bantuan lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top