KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendedahkan lebih 70,000 ekor lembu dari Thailand diseludup masuk ke negara ini sepanjang tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan lembu-lembu itu dijual dengan harga lebih murah berbanding sebelum ini dan situasi tersebut mencetuskan rasa kurang senang.
“Sekarang ini orang adu harga lembu murah kerana berlaku terlalu banyak penyeludupan.
“Aktiviti (penyeludupan) ini kalau tidak dapat disekat akan menjejaskan penternak terutama di negeri-negeri sempadan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Iftar Menteri Bersama Warga KPKM dan Santuni Dhuafa @Kada di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu, bekalan daging tidak terjejas di sebalik aktiviti penyeludupan yang semakin berleluasa ketika ini.
Katanya, harga lembu seludup
di Kedah, Perlis dan Perak turut dijual begitu murah sehinggakan tidak dapat ditandingi oleh peniaga-peniaga tempatan.
“Saya sudah lama menekankan perkara ini. Agensi bertanggungjawab mengawal sempadan perlu bertindak dengan lebih keras dalam perkara ini kerana ia sememangnya menjejaskan penternak tempatan.
“Di sebalik penyeludupan ini pula kita tidak tahu soal penyakit ternakan dan sebagainya tetapi kita nampak aktiviti ini semakin menjadi-jadi,” ujarnya.
Mohamad berkata, kawalan sempadan mesti diperketatkan demi menjaga kepentingan penternak tempatan di Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.-UTUSAN