am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik penjual menyembunyikan 6,230 jersi tiruan dalam dua gerai dan dua stor di Jalan Petaling, di sini, gagal selepas premis itu dikesan pihak berkuasa.
Ia dirampas hasil serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Isnin lalu, menjelang kejohanan Piala Eropah (UEFA Euro 2024) yang bakal bermula Sabtu ini.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Ariffin Samsudin berkata, rampasan dianggar bernilai RM450,000 dengan stok jersi tiruan itu disyaki diperoleh dari negara luar untuk dipasarkan kepada peminat bola sepak tempatan mahupun pelancong .
“Permintaan terhadap jersi bola sepak pada masa ini didapati amat menggalakkan kerana penganjuran kejohanan UEFA EURO 2024 pada minggu ini sehingga 15 Julai nanti,” katanya dalam sidang media di stor KPDN.
Menurutnya, jersi berkenaan dijual pada harga serendah RM140 sehelai dan dipercayai menjadi pilihan untuk menghangatkan lagi suasana pesta bola.
“Kualiti jersi berkualiti tinggi, sebab itu dijual dengan harga yang tinggi.
“Kami dapati kain jersi tersebut diimport dari luar negara dan mereka memproses dengan menekap logo di sini,” katanya.
Ariffin berkata, dalam serbuan yang sama, KPDN WPKL turut menyita tiga mesin bernilai RM15,000 yang digunakan untuk menampal logo, nombor jersi dan nama pemain pilihan mengikut permintaan pembeli.
“Premis berkenaan juga turut menerima tempahan secara borong dari peniaga di sekitar Lembah Klang selain menyediakan perkhidmatan pos bagi peniaga di luar negeri.
“Usaha mengesan pemilik premis sedang dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada tahun ini, katanya, KPDN WPKL merekodkan 55 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan berjumlah RM1.6 juta, babitkan sitaan 32,700 barangan.
“Untuk tempoh sama, KPDN turut menahan tujuh individu melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek,” katanya.
Menurut Ariffin, pihaknya mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil pemilik cap dagangan yang berdaftar untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak menyokong penjualan jersi tiruan dan pihak KPDN tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd