Lebih 60 semakan audit cukai dibuat LHDN siasat GISBH

Lebih 60 semakan audit cukai dibuat LHDN siasat GISBH

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan lebih 60 semakan audit dijalankan terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan dengannya bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.

Menurut LHDN, berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara yang menyatakan GISBH tidak pernah membayar cukai adalah merujuk kepada Tahun Taksiran (TT) terkini yang sedang disiasat pihaknya bersama  dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, GISBH, syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan telah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun-tahun taksiran yang diaudit.

“Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan telah dibayar oleh pembayar cukai tersebut.

“Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain. Tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, siasatan PDRM mendapati rangkaian GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka.

Menurut LHDN, kerjasama pihaknya dengan PDRM adalah bertujuan melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi TT terkini.

Katanya, tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Justeru, usaha-usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara,” katanya.

Pada masa sama, LHDN amat memandang serius isu-isu pelarian dan ketirisan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah usaha kerajaan meningkatkan hasil negara untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, pihaknya giat melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan penaksiran, auditan, siasatan dan pemungutan dalam memastikan pematuhan cukai sentiasa berada di tahap terbaik. – UTUSAN

Scroll to Top