Lebih 60 hilang selepas bas hanyut ke dalam sungai di Nepal

Lebih 60 hilang selepas bas hanyut ke dalam sungai di Nepal

KATHMANDU-Tanah runtuh menghanyutkan dua bas yang dinaiki sekurang-kurangnya 65 individu ke dalam sungai berarus deras, berhampiran Simaltar, Nepal.

Bagaimanapun, tiga daripada mangsa berjaya diselamatkan selepas berenang ke tempat selamat.

Kejadian tersebut berlaku di lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 120 kilometer di barat Kathmandu, awal pagi ini.

Pentadbir kerajaan, Khima Nanada Bhusal berkata, pihak berkuasa kini menggerakkan tentera dan polis untuk mencari penumpang-penumpang yang masih hilang namun hujan berterusan menyukarkan usaha pencarian di tambah pula dengan tanah runtuh yang menghalang laluan ke beberapa kawasan lain.

Jurucakap polis, Dan Bahadur Karki berkata, terdapat 41 orang di dalam bas pertama yang berlepas dari Kathmandu ke Gaur manakala bas kedua berlepas dari Birgunj ke Kathmandu pula dinaiki 24 penumpang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berpendapat, lebih ramai penumpang menaiki bas berkenaan sepanjang perjalanan.

Dalam hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri Puspha Kamal Dahal menzahirkan rasa sedihnya susulan kejadian tersebut.

Beliau turut mengarahkan agensi kerajaan untuk melaksanakan operasi carilamat yang efektif.

Musim hujan di Nepal bermula Jun dan berakhir pada September membawa hujan lebat sering menyebabkan tanah runtuh di negara yang dikelilingi gunung-ganang itu.- Agensi