Lebih 5 Jam Ismail Sabri Disiasat SPRM

Lebih 5 Jam Ismail Sabri Disiasat SPRM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menjadi tumpuan apabila dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Selepas lima jam berada di dalam bangunan SPRM, Ismail Sabri akhirnya keluar sekitar jam 3.13 petang, Khamis, dengan wajah yang kelihatan tenang.

Bagaimanapun, siasatan belum berakhir apabila sumber memaklumkan bahawa beliau dijangka kembali semula ke SPRM Putrajaya pada Jumaat untuk sesi rakaman percakapan seterusnya.

Ya, betul. Datuk Seri (Ismail Sabri) akan datang lagi ke SPRM esok (Jumaat) bagi proses rakaman percakapan seterusnya.- Kata sumber.

ismail sabri

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di perkarangan SPRM sekitar jam 9.46 pagi dengan menaiki Audi hitam diiringi kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika melangkah masuk ke bangunan tersebut, beliau sempat melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada para wartawan yang menunggu sejak awal pagi.

Siasatan terhadap beliau dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Setakat ini, 36 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan, manakala 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa tempoh cuti sakit Ismail Sabri telah berakhir pada Rabu dan beliau perlu hadir bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa.

#ApaKataOhmedia

Dalam situasi seperti ini, penting untuk masyarakat tidak terburu-buru membuat spekulasi sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Setiap individu yang disiasat berhak mendapat proses perundangan yang adil. Biarlah undang-undang berjalan sebagaimana sepatutnya, dan kita sebagai rakyat harus terus memantau perkembangan ini dengan minda yang terbuka.


Scroll to Top