Lebih 48,000 pendatang Yahudi ceroboh Masjid al-Aqsa tahun lalu

Lebih 48,000 pendatang Yahudi ceroboh Masjid al-Aqsa tahun lalu

BAITULMAQDIS – Tahun 2023 mencatatkan lebih 48,000 pendatang Yahudi menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel.

Agensi berita Anadolu melaporkan, pegawai di Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata, pada bulan Disember lalu iaitu ketika Israel menyerang hebat Gaza sejumlah 3,086 peneroka haram Yahudi menyerbu masjid tersebut di bawah perlindungan polis.

Polis Israel mula membenarkan pencerobohan pendatang Yahudi ke dalam kompleks Masjid Al-Aqsa pada 2003, walaupun dikecam berulang kali oleh rakyat Palestin.

Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci di dunia untuk umat Islam. Orang Yahudi memanggil kawasan tersebut sebagai Temple Mount dan mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.

Pusat Maklumat Wadi Hilweh yang berpangkalan di Baitulmaqdis dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan 1,105 perintah pengusiran tahu lalu kepada rakyat Palestin, termasuk perintah pengusiran dari Kota Lama Baitulmaqdis dan tempat lain di Baitulmaqdis.

Pusat itu juga mendokumenkan 209 perobohan Israel ke atas rumah Palestin di seluruh Baitulmaqdis Timur yang dijajah termasuk 68 perobohan yang berlaku selepas 7 Oktober, permulaan serangan Israel ke atas Gaza.

Seramai 21 rakyat Palestin dari Baitulmaqdis telah dibunuh oleh tentera Israel pada 2023, tambah pusat itu.- Agensi

Scroll to Top