Lebih 4,000 tindakan ke atas penjaja 'rambo'

Lebih 4,000 tindakan ke atas penjaja 'rambo'

sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan sentiasa membuat pemantauan dan tindakan terhadap penjaja tanpa lesen atau penjaja ‘rambo’ di sekitar ibu negara.

DBKL dalam satu kenyataan kepada Harian Metro berkata, sejak awal tahun ini sehingga kini, pihaknya sudah melakukan 1,860 tindakan sitaan yang membabitkan warganegara tanpa lesen dan 2,261 tindakan sitaan terhadap bukan warganegara tanpa lesen.

“Kesemua tindakan yang diambil terhadap penjaja tanpa lesen termasuk penjaja ‘rambo’ adalah di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

“Sejak Januari tahun ini, DBKL sudah melakukan 1,860 tindakan sitaan membabitkan warganegara tanpa lesen dan 2,261 tindakan sitaan bagi bukan warganegara tanpa lesen.

“Kedua-dua tindakan terhadap warganegara dan bukan warganegara ini termasuklah tindakan terhadap penjaja ‘rambo’ seperti yang dibangkitkan,” katanya.

DBKL berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengekang aktiviti ini daripada terus berlaku.

“Antaranya adalah dengan meningkatkan rondaan di lokasi ‘hotspot’ penjualan oleh penjaja rambo seperti di Dataran Merdeka, KLCC, Pavillion Bukit Bintang, Monorail Sungei Wang (Maybank Lama) serta sekitar Bukit Bintang.

“Selain itu, DBKL juga turut menempatkan bit penguatkuasaan di Dataran Merdeka dan KLCC bagi memudahkan pemantauan dijalankan oleh anggota penguat kuasa di lapangan,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kegiatan penjaja tanpa lesen masih wujud di sekitar ibu negara sehingga mampu meraih pendapatan RM3,000 sehari.

Mereka didapati menjual pelbagai barangan hiasan, bunga, permainan kanak-kanak, belon dan hiasan berlampu di sekitar kawasan terbabit yang menjadi tumpuan pelancong.

Kebanyakan penjaja berkenaan berasal dari Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Indonesia.

Selain itu, penjaja tanpa lesen itu juga menjejaskan aktiviti penjaja berlesen yang turut menjalankan perniagaan di sekitar lokasi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top