Lebih 300 berkumpul di Dataran Menara Condong sambil kibar Jalur Gemilang

Lebih 300 berkumpul di Dataran Menara Condong sambil kibar Jalur Gemilang

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Lebih 300 individu membanjiri Dataran Menara Condong Teluk Intan, hari ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Kehadiran peserta itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama semasa, kelmarin.

Rata-rata pengunjung dilihat membawa Jalur Gemilang dan berkumpulan seawal jam 5 petang.

Tinjauan di lokasi mendapati, pengunjung turut menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku serta lagu patriotik seperti ‘Jalur Gemilang’ dan ‘Saya Anak Malaysia’.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga Ketua Pembangkang Negeri turut menyertai himpunan beramai-ramai itu.

Salah seorang peserta, Roslan Omar, 42, berkata dia hadir bersama rakan dari Seberang Perak dan Kampung Gajah bagi menunjukkan perasaan cinta kepada negara.

“Saya dapat tahu mengenai rancangan berkumpul di sini daripada laman Facebook, semalam.

“Kedatangan kami ini sebagai tanda bahawa ini negara kita, bukan China.

“Kalau tidak turun, maknanya kita tak menyatakan jati diri kita,” katanya.

Seorang lagi peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Roslina, 57, berkata sepanjang dia berniaga berhampiran Dataran Menara Condong, ini adalah kali pertama dia melihat insiden bendera negara asing dikibarkan.

“Apabila lihat kejadian itu, saya rasa kurang senang. Jadi saya sokong inisiatif berkumpul sambil kibarkan Jalur Gemilang hari ini,” katanya.

Acara yang berlangsung lebih satu jam itu diakhiri bacaan Doa Wehdah dan Qunut Nazilah.

Anggota polis dan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) turut dilihat berada di lokasi bagi mengawal suasana dan lalu lintas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top