![Lebih 21,000 penduduk Aceh alami gangguan mental, 50 peratus kritikal Lebih 21,000 penduduk Aceh alami gangguan mental, 50 peratus kritikal](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/08/2999006.jpg)
Safrizal ketika melancarkan program Aceh Eliminasi Pasung di Pendopo Bupati Pidie Jaya, Aceh pada Jumaat lalu
ACEH – Lebih 21,000 penduduk Aceh mengalami masalah gangguan mental yang mana 50 peratus daripadanya berada pada tahap kritikal.
Gabenornya, Safrizal ZA berkata, masalah berkenaan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk keadaan sosial, tekanan hidup, konflik serta bencana.
Justeru katanya, kerajaan Indonesia perlu memberi lebih perhatian kepada golongan terbabit kerana mereka juga sebahagian daripada warganegara republik itu.
“Banyak yang memandang hina kepada golongan masalah mental padahal mereka memiliki hak yang sama. Kita harus berusaha memberikan layanan yang layak bagi mereka,” kata Safrizal ketika melancarkan program Aceh Eliminasi Pasung di Pendopo Bupati Pidie Jaya pada Jumaat lalu.
Safrizal menjelaskan bahawa Aceh mempunyai fasiliti perkhidmatan psikiatri iaitu Seuramoe Sehat Jiwa di Kuta Malaka (Aceh Besar) yang mampu menampung 300 pesakit.
“Kita prihatin dan harus melakukan sesuatu. Kita berharap rawatan hospital psikiatri dapat dimaksimumkan,” ujarnya.
Safrizal menegaskan bahawa penderita masalah mental yang serius harus segera dipindahkan ke hospital dan tidak dikurung kerana tindakan itu hanya memburukkan lagi keadaan mereka.
“Langkah mengurung penyakit bukanlah penyelesaian, malah akan memburukkan lagi keadaan penyakit mereka. Kita harus bekerjasama dalam menghentikan amalan ini demi kemanusiaan,” tegasnya.
Safrizal juga mengajak masyarakat untuk menunjukkan empati kepada pesakit gangguan mental.
Sementara itu, Pengarah Hospital Sakit Jiwa (RSJ) Pidie Jaya, Dr Hanif menjelaskan pengumuman Aceh Eliminasi Pasung itu bertujuan agar tidak ada lagi pesakit yang terpaksa diikat.
Beliau juga mendedahkan terdapat 21,000 pesakit mental di seluruh Aceh ketika ini dengan 50 peratus daripadanya mengalami gejala penyakit mental serius termasuk 114 pesakit mental diikat.