PUTRAJAYA: Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka, Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, di sini malam ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Yang turut hadir beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selain Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain.
Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada Pusat Jagaan Anak-Anak Insan Al Rahmat Hikmah, Ampang, Selangor.
Timbalan Perdana Menteri turut menyantuni pengunjung yang hadir di khemah utama.
Pengunjung yang hadir disajikan pelbagai hidangan termasuk sate, murtabak, soto ayam, cendol, char kuey teow, apam balik dan beberapa menu lain.
Majlis yang berlangsung dari pukul 8 hingga 11 malam itu juga bertujuan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Hael Husaini, Nadeera Azmi, Wany Hasrita, Ara Johari, Fauziah Gambus serta Junainah M Amin, selain Atu dan Ustaz Afad Raihan.
Sebagai kemudahan untuk tetamu menghadiri majlis itu, perkhidmatan bas pengantara percuma disediakan untuk ke Sri Satria. – UTUSAN