Lebih 180 kanak-kanak terbunuh dalam sehari di Gaza akibat serangan Israel

Lebih 180 kanak-kanak terbunuh dalam sehari di Gaza akibat serangan Israel

ISTANBUL – Lebih 180 kanak-kanak Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza dalam tempoh sehari ketika serangan dahsyat terus dilancarkan ke atas wilayah itu, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

“Lebih 180 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam tempoh sehari di Gaza,” menurut kenyataan UNRWA.

Bagaimanapun, agensi PBB itu tidak menyatakan secara khusus bila kejadian itu berlaku.

“Jika gencatan senjata tidak dikembalikan, lebih banyak nyawa akan terkorban,” UNRWA memberi amaran.

Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac, mengorbankan 855 orang, mencederakan hampir 1,900 yang lain, serta mencabuli perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari.

Agensi PBB itu menganggarkan sekitar 124,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal sejak Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza.

“Keluarga di Gaza sekali lagi terpaksa melarikan diri untuk mencari perlindungan,” menurut UNRWA.

“Pada masa yang sama, kepungan yang berterusan semakin memburukkan krisis kemanusiaan. Orang awam mesti dihormati dan dilindungi. Pada setiap masa. Di mana-mana sahaja.”

Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma berkata tiada bekalan makanan dibenarkan masuk ke Gaza sejak awal Mac akibat sekatan yang dikenakan Israel.

“Sejak 2 Mac, tiada makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan komersial dibenarkan masuk ke Gaza akibat larangan oleh Israel,” katanya. “Ini adalah tempoh paling lama sejak serangan bermula.”

“Setiap hari tanpa bekalan bermakna kanak-kanak tidur dalam keadaan kelaparan,” Touma memberi amaran.

Lebih 50,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 113,900 cedera dalam serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangan ke atas wilayah itu. – Bernama

Scroll to Top