Lebih 10,000 penduduk lega, jalan putus dibaiki

Lebih 10,000 penduduk lega, jalan putus dibaiki

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Foto Siti Rohana Idris

Tumpat: Selepas lebih dua bulan Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu, di sini terputus akibat banjir, laluan itu akhirnya dibina semula dan dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.

Pembinaan semula laluan sejauh 50 meter dimulakan Ahad lalu, melegakan lebih 10,000 penduduk terutama yang tinggal di Taman Sri Bayu serta Kampung Jubakar Pantai.

Menurut Amran Abdul Rahman, 42, sejak laluan itu runtuh 30 November lalu, penduduk terpaksa bina jambatan sementara di tepi kawasan perumahan yang hanya boleh dilalui motosikal saja.

“Jika ingin menaiki kereta, kami perlu menggunakan jalan yang berkali ganda jauhnya dan sangat menyusahkan terutama untuk menghantar anak ke sekolah.

“Bagaimanapun Ahad lalu kerja pembinaan sudah mula dibuat dan kerja menambun batu masih berjalan, diharapkan dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Bagi pemilik kedai kopi, Norazezela Amran, 37, pembinaan semula jalan itu sangat melegakannya kerana perniagaan yang diusahakan bakal kembali ‘hidup’.

Katanya, bisnesnya merudum dengan jualan menurun tiga kali ganda disebabkan kekurangan pelanggan, memandangkan premisnya terletak kira-kira 100 meter dari jalan runtuh.

“Selepas jalan terputus, hanya pelanggan dari Kampung Jubakar Pantai dan sekitar sahaja yang datang, manakala daripada Taman Sri Bayu serta Kampung Baru Nelayan sudah tiada (kerana tiada laluan masuk),” katanya.

Selain Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu, tiga lagi jalan yang rosak akibat banjir lalu di Tumpat ialah Jalan Sungai Tapang-Kampung Jubakar Pantai, jalan utama Kampung Tujoh dan Jalan Kampung Baru Nelayan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top