BEIRUT: Lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan penyokong tegar Presiden Syria yang diusir, Bashar al-Assad.
Jumlah korban itu termasuk 750 penduduk awam dan kumpulan pemantau menyifatkan pertempuran yang berlaku sebagai paling dahsyat sejak konflik di Syria bermula pada 14 tahun lalu.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria memaklumkan, selain penduduk awam, 125 anggota keselamatan kerajaan turut terbunuh dengan 148 lagi melibatkan penyokong Bashar.
Pertempuran yang semakin tidak terkawal itu menyaksikan bekalan elektrik dan air diputuskan di kebanyakan kawasan di bandar Latakia.
Pertempuran yang tercetus sejak Khamis lalu menjadi cabaran Utama dalam membentuk kerajaan baharu di Damsyik, iaitu tiga bulan selepas pentadbiran Bashar digulingkan.
Kerajaan memaklumkan pertempuran itu berlaku akibat ‘tindakan sesetengah pihak’ sambal merujuk kepada kumpulan penyokong Bashar.
Insiden pertempuran antara kumpulan bersenjata yang menyokong kerajaan Syria dengan puak Alawite yang menyokong Bashar memberi tamparan besar kepada Hayat Tahrir al-Sham yang menjadi ‘pelopor’ kepada penggulingan Bashar.
Alawite membentuk sebahagian daripada kumpulan penyokong Bashar sejak beberapa dekad lalu.
Dalam pada itu, penduduk setempat memberitahu AP, pertempuran yang berlaku amat dahsyat, tembakan sentiasa dilepaskan secara rambang pada setiap masa.
Penduduk mendakwa, beberapa kediaman juga dipecah masuk oleh puak Alawite dengan sebahagian kawasan turut dibakar.
Selain itu, mayat orang yang terkorban juga dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan tanpa dikebumikan segera dan tiada siapa mampu menguruskan mayat-mayat berkenaan berikutan situasi tegang berlaku.
Keadaan itu menyaksikan ada penduduk Syria melarikan diri ke Lubnan, selain ada yang mendapatkan perlindungan di pangkalan Udara tentera Russia di Hmeimim.
Sejak Bashar digulingkan, ramai puak Alawite yang sebelum ini berkhidmat dengan kerajaan Syria dipecat daripada pekerjaan mereka, malah ada bekas anggota tentera yang ‘berbaik’ dengan kerajaan baharu dibunuh.