Sydney: Seorang lelaki berusia 40-an menjadi individu pertama dibenarkan keluar dari hospital setelah dipasang dengan jantung tiruan sepenuhnya, menurut hospital Sydney tempat pembedahan itu dilakukan pada Rabu.
Lelaki itu, yang menderita kegagalan jantung yang teruk, hidup menggunakan BiVACOR Total Artificial Heart (TAH) iaitu pam darah yang diperbuat daripada titanium, selama lebih dari 100 hari sebelum menerima pemindahan jantung pada Mac, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pada November, lelaki itu dipasang dengan jantung tiruan di Hospital St Vincent’s Sydney sebagai langkah sementara sementara menunggu jantung penderma, pembedahan pertama seumpamanya dilakukan di Australia.
Dia dibenarkan keluar dengan alat itu pada Februari sebelum menerima jantung penderma pada Mac.
“Pesakit ini memegang rekod untuk tempoh paling lama bagi seorang pesakit BiVACOR yang menjalani implan hingga pemindahan yang merupakan satu langkah besar ke arah masa depan teknologi jantung tiruan,” menurut St Vincent’s dalam satu kenyataan.
“Dengan inovasi ini, matlamat jangka panjang adalah supaya pesakit dapat hidup dengan alat ini tanpa perlu pemindahan jantung.”
Dr Paul Jansz, pakar bedah kardiotorasik dan pemindahan jantung yang memasang jantung mekanikal itu berkata alat ini adalah “perubahan besar dalam bidang ini.”
Lima pesakit di Amerika Syarikat menerima alat BiVACOR antara Julai dan November 2024 sebagai sebahagian daripada Kajian Kebolehlaksanaan Awal FDA, namun tiada seorang pun yang dibenarkan keluar dengan implan itu. Semua lima pesakit dibenarkan keluar setelah menerima pemindahan jantung.
Implan BiVACOR menggunakan teknologi levitasi magnetik, prinsip yang sama digunakan dalam kereta api berkelajuan tinggi, untuk mengepam darah ke peredaran pulmonari dan sistemik. Menurut penciptanya, alat itu sesuai untuk kebanyakan lelaki dan wanita dan memastikan jantung seorang lelaki yang dewasa yang sedang bersenam sihat.
© New Straits Times Press (M) Bhd