LBS saran kembalikan HOC dalam Belanjawan 2025

LBS saran kembalikan HOC dalam Belanjawan 2025

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS), menggariskan beberapa saranan utama untuk Belanjawan 2025 yang bertujuan memberi sokongan kepada sektor hartanah dan ekonomi secara menyeluruh, selaras dengan komitmen terhadap inovasi, kelestarian dan pemilikan rumah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, Belanjawan 2025 berpotensi untuk membentuk masa depan sektor hartanah Malaysia secara signifikan.

Katanya, LBS ingin menyarankan agar kerajaan mengembalikan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berjaya dilaksanakan dari tahun 2019 hingga 2021.

“Inisiatif ini menawarkan pengecualian duti setem dan kelonggaran kriteria kelayakan pinjaman, sudah membantu lebih 100,000 keluarga mencapai impian memiliki rumah.

“Pengembalian HOC dijangka merangsang jualan dalam pasaran hartanah kediaman, mempercepatkan perolehan hartanah dan meningkatkan sentimen positif dalam sektor hartanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai peneraju dalam amalan pembinaan inovatif, LBS mencadangkan agar kerajaan memberi insentif kewangan untuk penerapan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Beliau berkata, walaupun pengecualian cukai pelaburan sudah dilanjutkan sehingga 2025, LBS berharap adanya subsidi atau geran yang dapat mengurangkan kos awal pengeluaran IBS.

“Penggalakan penggunaan IBS secara meluas dijangka meningkatkan kualiti pembinaan, mengurangkan kebergantungan tenaga kerja, serta meningkatkan produktiviti dalam sektor pembinaan.

“LBS turut menyokong inisiatif kerajaan yang menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan hartanah.

“Ini kerana penggunaan AI dalam industri mampu meningkatkan kecekapan, keselamatan dan produktiviti secara signifikan, serta mengurangkan kos operasi,” katanya.

Justeru, LBS mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program latihan AI serta insentif kewangan bagi menggalakkan inovasi berasaskan AI di sektor hartanah secara menyeluruh.

Selain itu, selari dengan komitmen LBS terhadap pembangunan lestari, kumpulan menyarankan peningkatan dana di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.

LBS turut mencadangkan agar belanjawan semasa sebanyak RM1 bilion diperluaskan dan meningkatkan had pembiayaan maksimum untuk projek pembangunan hijau.

Katanya, langkah ini membolehkan pemaju melaksanakan projek hijau berskala lebih besar, sekali gus menyumbang kepada matlamat alam sekitar Malaysia dan membantu sektor hartanah sejajar dengan piawaian kelestarian global.

Sementara itu, mengenai laporan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menekankan bahawa kos pematuhan kini merangkumi 21 hingga 33 peratus daripada nilai pembangunan kasar bagi projek perbandaran dan sehingga 45 peratus untuk pembangunan strata.

Memandangkan kos yang kian meningkat, LBS berharap kerajaan mengambil langkah untuk meringankan beban terbabit agar harga hartanah kekal mampu milik bagi rakyat Malaysia, sekali gus membina sentimen positif dan perkembangan lestari untuk pasaran hartanah.

Lim berkata, cadangan ini semua mencerminkan dedikasi kumpulan untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti tinggi, selari dengan matlamat ekonomi dan alam sekitar.

“Dengan pelaksanaan inisiatif yang memudahkan pemilikan rumah mampu milik, memacu kemajuan teknologi seperti AI dan memperluas inisiatif pembiayaan hijau, LBS akan mampu meneraju peluang yang semakin berkembang.

“Dengan ini, rakyat Malaysia lebih mudah memiliki rumah, seterusnya memupuk pasaran hartanah yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top