Lawatan ke Arab Saudi positif – PM

Lawatan ke Arab Saudi positif – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan beliau dan delegasi ke Arab Saudi amat positif dengan beberapa perbincangan dibuat bersama komuniti Islam dan perniagaan yang membolehkan hubungan kedua-dua negara terus berkembang.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan beliau akan kembali ke negara Asia Barat itu bagi meneruskan hubungan baik yang telah terjalin.

“Sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi memohon agar saya melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara,” katanya menurut hantaran di Facebook.

Anwar sebelum ini memulakan lawatan rasmi sulung ke Arab Saudi selama tiga hari.

Selain isteri, Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam lawatan tersebut. 

Ia juga merupakan lawatan rasmi negara luar ASEAN pertama Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas. – utusan