am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Tiada apa yang mampu diucapkan keluarga pelumba jet ski yang terjatuh ketika menguji jentera berkenaan di Sungai Terengganu, dekat Taman Tamadun Islam (TTI) selain rasa syukur apabila lelaki itu ditemukan walaupun dalam keadaan tidak bernyawa.
Kakak Allahyarham Abdullah Abdul Mubin, 44, Datuk Nabilah Abdul Mubin , berkata walaupun sedih dengan pemergian arwah, namun keluarga bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah.
“Kami semua reda dengan apa yang menimpa arwah. Sudah ketentuan Allah dia ‘pergi’ dalam keadaan begitu (lemas),” katanya ringkas ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.
Katanya, keluarga dan sanak saudara tidak putus melakukan solat hajat memohon Allah melancarkan urusan mencari mangsa sebelum arwah ditemui jam 9.28 pagi tadi.
“Ketika itu, kami adik beradik dan sanak saudara sedang membetulkan saf untuk menunaikan solat hajat di lokasi kejadian.
“Ketika adik, Zuhairi melaungkan azan kami semua tidak mampu menahan kesedihan. Belum sempat kami angkat takbir, loceng isyarat daripada pasukan penyelamat di tengah sungai dibunyikan menandakan jasad adik (Abdullah) ditemui,” katanya.
Katanya, arwah yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik sangat baik dan ringan tulang selain mesra dengan keluarga.
“Arwah tinggal bersama adik bongsu dan suaminya di rumah peninggalan arwah emak dan ayah di Kampung Durian Burung manakala isteri arwah yang bekerja sebagai guru dan dua anaknya berusia tiga dan satu tahun tinggal di Kuantan, Pahang,” katanya.
Jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Besar Kampung Pulau Rusa Hilir bersebelahan kubur ibu selepas solat Asar.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid At Taqwa Kampung Durian Burung untuk disembahyangkan sebaik selesai proses bedah siasat.
Tinjauan di tanah perkuburan mendapati lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan arwah serta penduduk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd