SEBANYAK RM20,000 berjaya dikumpulkan melalui program larian amal Pantai SP World Cancer Day Run 2025 yang berlangsung di Bertam Setia Fontaines pada pagi Sabtu.
Program ini dianjurkan bersama oleh Hospital Pantai Sungai Petani dan Hospital Pantai Laguna Merbok bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser serta mengumpul dana untuk Majlis Kanser Negara (MAKNA).
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani dan Hospital Pantai Laguna Merbok, Tio Bee Chan berkata, larian amal yang diadakan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia itu mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 2,200 peserta dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
Menurutnya, jumlah kutipan yang diperoleh hasil daripada yuran pendaftaran akan disalurkan sepenuhnya kepada MAKNA bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan rawatan perubatan.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan semua peserta yang telah menyertai larian amal ini. Sambutan yang diterima melebihi jangkaan kami dan ini jelas menunjukkan kesedaran serta keprihatinan masyarakat terhadap pesakit kanser.
“Larian ini bukan sekadar acara kecergasan tetapi satu inisiatif komuniti dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan, selari dengan komitmen kami dalam memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Wakil MAKNA, Zunnurin Zohri berkata, program seperti ini membuktikan bagaimana masyarakat boleh bersatu untuk tujuan kebajikan.
“Dana yang dikumpul menerusi program ini akan memberi manfaat secara langsung kepada pesakit kanser yang memerlukan rawatan perubatan.
“Sokongan yang diberikan oleh orang ramai amat berharga dalam membantu mereka menjalani proses pemulihan,” katanya.
Larian separuh maraton tersebut menawarkan tiga kategori iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan 5 kilometer, bermula dan berakhir di lokasi yang sama.
Selain larian, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk sesi zumba, pemeriksaan kesihatan percuma, cabutan bertuah serta pameran kesihatan yang disertai oleh penaja insurans, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Untuk maklumat lanjut mengenai Pantai SP World Cancer Day Run 2025 atau cara menyumbang kepada MAKNA, orang ramai boleh melayari www.pantai.com.my/sungai-petani/ms atau mengikuti laman Facebook rasmi Hospital Pantai Sungai Petani.