Laporan bangunan lama IPD Melaka Tengah akan dijual fitnah yang nyata

Laporan bangunan lama IPD Melaka Tengah akan dijual fitnah yang nyata

am@hmetro.com.my

Jasin: Kerajaan negeri menyifatkan laporan kononnya tanah serta bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, dekat sini akan dijual seperti yang ditularkan di media sosial sebagai fitnah yang nyata.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana kawasan yang menempatkan bangunan lama IPD terbabit sudah berusia 100 tahun dan tidak sesuai untuk dijadikan pusat pentadbiran dan pengurusan polis, terutama membabitkan kawasan bandar yang padat dengan pelancong.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya jangan sesekali mempercayai dengan setiap laporan berkenaan yang secara berterusan menyiarkan berita fitnah sekali gus memperlekehkan tugas pihak berkuasa di negara ini.

“Jadi mereka yang mengatakan tanah ini dijual adalah satu tuduhan rambang yang sengaja reka (oleh pihak tidak bertanggungjawab). Oleh itu, janganlah percaya dengan laporan yang tidak putus-putus mencemuh serta meremehkan perjalanan pentadbiran pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada di peringkat daerah, negeri atau di Bukit Aman,” katanya ketika merasmikan Program `Community Policing’ peringkat IPD Jasin di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah serta Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi.

Minggu lalu, Polis Melaka menafikan dakwaan pemindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara di Batu Berendam, di sini akibat dihalau kerajaan negeri.

Zainol dilaporkan berkata, dakwaan tular menerusi satu klip video yang tular di media sosial itu jelas fitnah jahat bertujuan menjatuhkan imej kerajaan negeri serta PDRM Melaka.

Ab Rauf berkata, susulan keadaan IPD Melaka Tengah yang berusia 100 tahun itu yang tidak lagi sesuai digunakan sebagai pentadbiran polis, beliau sudah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perhatian terhadap keadaan di bangunan lama itu.

Katanya, hasil daripada permintaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke IPD berkenaan dan bersetuju memindahkan sementara pusat pentadbiran serta pengurusan IPD Melaka Tengah ke bangunan milik kerajaan negeri yang sudah dibeli oleh KDN di Batu Berendam.

“Segala urusan dibuat secara teratur dan ketertiban, maka segala tohmahan yang dibuat untuk melemahkan perjalanan pemindahan sementara anggota polis Melaka Tengah itu adalah satu fitnah yang nyata.

“Adalah menjadi harapan saya supaya bangunan lama IPD Melaka Tengah itu dijadikan Muzium Polis pertama yang diwujudkan luar Bukit Aman dan secara prinsipnya pengurusan Polis di Bukit Aman sudah bersetuju dengan cadangan berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd