BAGHDAD: Lapangan terbang antarabangsa di bandar Irbil dekat utara Iraq diserang dron dipenuhi bahan letupan, berhampiran konsulat Amerika Syarikat (AS), semalam, kata pihak berkuasa Kurdish.
Unit antipengganas autonomi wilayah Kurdistan Iraq dalam satu kenyataan, berkata tiada kecederaan atau kerosakan besar akibat serangan kira-kira jam 7.30 malam itu, selain pasukan bomba memadamkan api.
Lapangan terbang di Erbil menempatkan markas tentera gabungan antarabangsa yang memerangi militan IS, turut disasarkan dron dipenuhi bahan letupan, April lalu.
Puluhan serangan menyasarkan kepentingan AS di negara itu dibuat sejak awal tahun ini, dengan 2,500 tentera AS dikerahkan sebagai sebahagian daripada gabungan itu.
Kelmarin, pasukan AS menembak jatuh dron bersenjata di atas kedutaan negara itu di Baghdad.
Beberapa jam sebelumnya, tiga roket menyasarkan pangkalan udara di gurun barat Iraq yang juga menempatkan tentera AS.
AS baru-baru ini menawarkan hingga AS$3 juta (RM12.47 juta) untuk maklumat mengenai serangan menyasarkan kepentingannya di Iraq. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd