Lapan cedera, Alza bertembung Mercedes sebelum terbakar

Lapan cedera, Alza bertembung Mercedes sebelum terbakar

BALIK PULAU : Lapan termasuk seorang warga emas dan seorang kanak-kanak cedera apabila sebuah Perodua Alza bertembung dengan Mercedes A250 Sport sebelum terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Tun Sardon di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, hampir kesemua mangsa cedera di bahagian kaki dan tangan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Mercedes yang dinaiki tiga lelaki dalam perjalanan dari Balik Pulau ke George Town secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Secara kebetulan, kereta itu bertembung dengan sebuah Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga. Ketika itu, mereka dikatakan dalam perjalanan menghala ke Balik Pulau selepas pulang bercuti di Hatyai, Thailand.

“Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan terbakar di tempat kejadian. Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan anggota yang berkejar ke lokasi,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Sazalee, bomba berjaya memadam kebakaran itu tidak lama kemudian, namun, kedua-dua kenderaan gagal diselamatkan dan rentung hampir seratus peratus.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang memberitahu, ketika kejadian, cuaca baik dan jalan tidak basah.-UTUSAN

Scroll to Top