Lantik Peguam Negara jadi ahli Parlimen

Lantik Peguam Negara jadi ahli Parlimen

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memberi kepercayaan supaya Peguam Negara dipilih sebagai ahli Parlimen bagi memastikan kebertanggungjawaban pejabat pendakwa raya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim berkata, Malaysia boleh mencontohi sistem yang diguna pakai di United Kingdom (UK) yang mewajibkan Peguam Negara menjadi Ahli Parlimen.

Pada masa sama, beliau mencadangkan pejabat pendakwa raya dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjamin kebebasan institusi tersebut.

“Pejabat pendakwa raya sepatutnya menjadi unit bebas dan didanai secara berasingan. 

“Biarkan ia beroperasi di bawah kerajaan dan peguam swasta, yang mana lantikan serta jaminan penggal perkhidmatan mereka tidak bergantung kepada Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gesaan tersebut dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai beberapa kes selepas Pilihan Raya Umum 2018 adalah cacat serta dibuat secara tergesa-gesa dan bermotifkan politik.

Menurut Anwar, Jemaah Menteri sudah menerima cadangan untuk membahagikan fungsi antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Mohd. Zaid berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan individu yang paling terkesan akibat ‘ketidakadilan’ dalam sistem pendakwaan.

Justeru, beliau menegaskan pentadbiran Anwar perlu melaksanakan pembaharuan untuk mengelakkan situasi serupa berulang.

Katanya, pengasingan perkhidmatan perundangan dan kehakiman adalah langkah penting bagi memastikan keadilan dan ketelusan.

“Perubahan seperti ini akan menamatkan era di mana Peguam Negara boleh berdiam diri dan tidak bertanggungjawab kepada orang ramai terhadap tindakan pejabat pendakwa raya,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top