LANGKAH SEBELUM, SELEPAS SPM

LANGKAH SEBELUM, SELEPAS SPM

suliati@hmetro.com.my

Selepas berakhirnya Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan sebelum memasuki alam universiti sebenarnya ia adalah masa berharga untuk ibu bapa dan pelajar menentukan hala tuju.

Biasanya, apabila peperiksaan SPM berakhir, ia ibarat satu ‘kemenangan’ besar buat pelajar.

Namun hakikatnya, itulah permulaan sebenar dalam merancang hala tuju bukan saja dalam pelajaran di peringkat seterusnya tetapi juga kerjaya dan kehidupan mereka kelak.

Justeru, masa yang terluang ini harus digunakan sebaiknya dalam merancang perjalanan pengajian dan kerjaya di kemudian hari.

Dalam konteks ini, perancangan itu tidak hanya membabitkan pelajar tetapi ibu bapalah yang perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam membantu anak-anak mereka.

Menurut Timbalan Pengarah II (Sains Sosial) Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Raya (MARA), Dr Zulkifli Hussain @ Mat Hassan, dalam hal ini kesedaran ibu bapa untuk membuat persediaan kepada anak perlu ditingkatkan.

Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, rata-rata ibu bapa sekarang hanya mengikut arus masa saja.

“Apa yang ada di hadapan mereka itulah yang anak-anak akan lakukan.

“Oleh itu, kesedaran dalam merancang hala tuju anak-anak selepas SPM ini harus disebar luaskan kepada ibu bapa,” katanya.

Untuk mencapai matlamat ini, terdapat dua persediaan penting yang perlu dilakukan ibu bapa bagi membantu anak-anak mengatur langkah selepas SPM.

Langkah pertama adalah merancang bagaimana anak-anak mengisi masa terluang mereka selepas peperiksaan, manakala langkah kedua adalah membantu mereka merancang apa yang akan dilakukan selepas keputusan SPM diumumkan.

Kedua-dua langkah ini adalah asas yang perlu difahami dengan mendalam oleh ibu bapa.

Selepas SPM, banyak pelajar yang memilih untuk berehat dan menghabiskan masa di rumah.

Ada yang mula mencari kerja sambilan atau menyertai kursus yang sesuai dengan minat mereka.

Namun, Dr Zulkifli menegaskan bahawa aktiviti itu perlu dirancang dengan lebih fokus dan bermakna oleh ibu bapa.

“Sebenarnya, inilah masa yang paling sesuai untuk memberi peluang kepada anak-anak belajar kemahiran baru seperti komunikasi, kepimpinan atau pengurusan masa mengikut kepada keperluan mereka.

“Ini bukan sahaja membantu mereka berkembang secara peribadi, tetapi juga membina asas yang kuat untuk masa depan.

“Jika ibu bapa tidak mereka atau menyediakan aktiviti yang sesuai, pada akhirnya anak hanya akan menghabiskan masa dengan perkara yang kurang produktif seperti bermain telefon bimbit, menonton televisyen, Youtube dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, ibu bapa juga boleh memberi peluang kepada anak-anak untuk mencari pengalaman kerja sambilan.

Dr Zulkifli berkata, perkara itu bukan sekadar mengenai pendapatan tambahan tetapi lebih kepada memperkenalkan anak ke dunia pekerjaan yang sebenar.

Menurutnya, melalui pengalaman bekerja, anak-anak akan lebih faham dunia profesional, cara berinteraksi dengan orang dewasa, nilai kerja keras dan tanggungjawab.

“Dengan pendedahan sebegini, mereka akan lebih matang dalam membuat keputusan mengenai kerjaya masa depan mereka.

“Ini adalah pengalaman yang jauh lebih berharga berbanding hanya duduk di rumah,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh waktu yang singkat ini jugalah peluang untuk merapatkan lagi hubungan anak dengan ibu bapa sebelum memasuki alam universiti pula.

“Ini kerana pabila anak-anak ini masuk ke alam universiti kelak, masa bersama akan menjadi lebih terhad.

“Jadi, saya melihat tiga perkara ini harus diberikan penekanan dan dirancang secara spesifik oleh ibu bapa,” katanya.

Bantu anak memilih kursus yang tepat

Selain itu, anak-anak juga perlu lebih bersiap sedia dalam memilih kursus yang sesuai untuk mereka teruskan.

Kata Dr Zulkifli, pada peringkat awal, ibu bapa perlu membantu anak-anak untuk memahami pelbagai pilihan kursus yang ada dan universiti mana yang akan mereka tuju.

“Ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada anak-anak mengenai langkah seterusnya dalam perjalanan pendidikan mereka.

“Justeru, apabila keputusan SPM diumumkan, mereka akan lebih mudah memilih kursus yang bukan sahaja menarik minat mereka tetapi juga selari dengan keputusan yang diperoleh,” katanya.

Dalam memilih kursus pula, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian iaitu minat dan kebolehan.

Contohnya, seorang pelajar mungkin berminat untuk menjadi seorang doktor, namun ketakutan terhadap darah menyebabkan mereka pengsan setiap kali melihatnya.

Begitu juga ada yang mahu menjadi seorang pempengaruh media sosial, tetapi gugup ketika bercakap di hadapan orang ramai.

Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka memiliki minat yang mendalam tetapi tanpa kebolehan yang sesuai, impian itu mungkin sukar untuk dicapai.

Justeru kata Dr Zulkifli, minat dan kebolehan perlu berjalan seiring.

“Ibu bapa harus membantu anak-anak mengenal pasti kedua-dua aspek ini supaya anak-anak dapat memilih kursus yang bukan sahaja disukai, tetapi juga yang mampu dicapai dengan kemampuan yang ada.

“Dengan pilihan yang tepat ini akan memberikan anak-anak peluang untuk berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Dalam konteks minat kerjaya pula, sebenarnya terdapat ujian kecenderungan minat yang boleh dilakukan untuk membantu pelajar memahami hala tuju mereka.

Di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) misalnya pelajar menjalani ujian ini sebagai panduan. Begitu juga di sekolah-sekolah lain, di mana kaunselor bertanggungjawab melaksanakan ujian kerjaya untuk pelajar.

Ujian ini mengkategorikan minat pelajar kepada enam paten utama iaitu realistik, konvensional, berdaya usaha, sosial, penyiasatan dan artistik.

Kod-kod ini perlu difahami dengan jelas kerana ia akan menentukan kecenderungan semula jadi setiap pelajar.

Dr Zulkifli berkata, selepas mengenal pasti minat, langkah seterusnya ialah mengkaji kebolehan mereka.

Sebagai langkah awal, ibu bapa boleh melihat kepada keputusan peperiksaan anak-anak.

“Sebagai contoh, jika seorang pelajar berminat dalam bidang perubatan tetapi mendapat gred D dalam subjek Biologi, mungkin kebolehannya tidak selari dengan minat berkenaan.

“Dalam situasi ini, ibu bapa boleh membantu mendorong mereka untuk meneroka kerjaya lain yang lebih sesuai,” katanya.

Ketika proses mencari bidang kerjaya yang sesuai, anak-anak boleh menjalankan tugasan seperti menemu bual individu yang bekerja dalam bidang yang diminati.

Contohnya, jika mereka berminat menjadi juruterbang, mereka boleh berjumpa dengan pelajar jurusan penerbangan atau juruterbang untuk memahami lebih lanjut mengenai kerjaya itu.

“Begitu juga jika mereka berminat dalam bidang perubatan, ibu bapa boleh membawa mereka ke wad kecemasan untuk melihat suasana kerja sebenar.

“Pendedahan kepada pengalaman sebenar atau mendengar cerita langsung daripada individu dalam bidang terbabit sangat penting.

“Pendekatan ini membantu pelajar memahami cabaran dan realiti pekerjaan yang diminati, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih tepat,”katanya.

Terbuka dalam memilih kerjaya dalam era AI

Menerusi kemajuan teknologi kecergasan buatan (AI) pula, Dr Zulkifli menasihati ibu bapa untuk lebih terbuka dalam memberi anak-anak ruang untuk memilih kursus atau kerjaya yang mereka minati dan sesuai dengan kebolehan.

Menurutnya, tak ada masalah pun kalau ibu bapa ada pemikiran tradisional dan mahu anak-anak ikut apa yang mereka mahukan.

Namun, apa yang penting, ibu bapa perlu sedar bahawa sekarang ini, di Malaysia sahaja ada lebih daripada 35,000 jenis kerjaya.

“Bidang kerjaya semakin meluas dan banyak pilihan baru yang mungkin tak pernah terfikir oleh kita.

“Jadi, kita tak boleh hanya hadkan pilihan kerjaya anak-anak berdasarkan pengalaman atau pandangan kita saja.

“Dengan memberi mereka kebebasan untuk meneroka dan memilih kerjaya yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka,” katanya.

Minat tidak selari keputusan SPM

Dr Zulkifli berkata, andai minat dan kebolehan sudah selari tetapi keputusan SPM tidak layak untuk ikuti kursus yang diinginkan dan tiada tawaran yang diterima dari universiti, nasihatnya jangan pernah berputus asa.

“Sebagai ibu bapa dan pelajar di tahun 2025, mereka perlu bijak dalam mengatur strategik.

“Walaupun apa yang dirancang itu tidak menjadi tetapi semua itu belum muktamad kerana sebenarnya banyak jalan lain untuk mencapai apa yang diinginkan.

“Pelajar mungkin boleh memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi lain yang pada akhirnya akan membawa mereka kepada kursus atau kerjaya yang diinginkan,” katanya.

Jadilah ibu bapa yang berilmu terutama dalam kemahiran keibubapaan. Dengan itu, mereka boleh merancang atau membentuk anak untuk memenuhi tuntutan semasa.

Bagi anak-anak pula, mereka perlu mempunyai kualiti peribadi yang unggul. Dengan adanya keperibadian yang unggul ini, ia akan menjadi pendorong kepada anak menjadi individu cemerlang dunia dan akhirat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top