GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita 30 buah motosikal dalam dua operasi berasingan hari ini kerana melanggar peraturan pelesenan yang ditetapkan.
Jurucakap MBPP berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan di sebuah premis menjual dan membaiki kenderaan itu di daerah Barat Daya, sebanyak 18 motosikal disita.
Katanya, tindakan itu diambil kerana pemilik premis ingkar terhadap arahan yang diberikan dengan meletakkan motosikal tersebut atas tanah milik kerajaan tanpa kebenaran.
“Sementara itu, 12 buah motosikal lagi disita di sebuah premis yang sama di daerah Timur Laut kerana didapati telah menghalang laluan pejalan kaki (dengan meletakkan motosikal di laluan itu).
“Kedua-dua tindakan ini diambil mengikut Seksyen 3 Undang-undang Kecil Penang Municipal Garages by Laws 1952. Semua motosikal yang disita kemudian dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi itu bertujuan memastikan setiap pemilik premis perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak mengganggu hak pengguna jalan raya dan pejalan kaki. – UTUSAN