Lan Zailan pelakon berbakat besar – Seniman

Lan Zailan pelakon berbakat besar – Seniman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan Lan Zailan yang meninggal dunia hari ini adalah pelakon berbakat besar tanah air.

Seniman menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung mereka, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham adalah pelakon drama dan filem di Malaysia sejak tahun 1980 dan sehingga kini sudah berlakon lebih 10 filem dan puluhan drama dan telefilem.

“Seniman amat berduka cita atas pemergian Allahyarham ke negeri abadi, namun kita reda atas kehendak Ilahi.

“Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga,” katanya.

Terdahulu, Hafiz sempat meluangkan masa menziarah Allahyarham petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Lan Zailan atau nama sebenarnya Zailan Kamarudin, 66, menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 4.20 pagi, hari ini akibat kanser pankreas.

Jenazahnya dimandi dan dikafankan di PPUM jam 8 pagi dan dibawa ke Masjid As Salam Puchong Perdana untuk disolatkan.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 selepas Zuhur, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top