KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri, teruja menyambut lebaran dengan menyiapkan 10 pasang baju raya buat anak tunggalnya.
Jelas Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, pilihan itu diambil mengenangkan kelincahan anaknya Nur Khawla Soleha atau Lala sepanjang Syawal.
“Baju raya Lala saya kena beli banyak sikit sebab dia sangat lasak. Lebih kurang 10 helai baju untuk anak dara itu sahaja.
“Tapi beli sahaja (banyak), dengan niat nanti boleh beri kepada sesiapa,” kata Ernie.
Ernie dan Syamel ditemui Utusan Malaysia di St. Giles Boulevard Hotel, Midvalley, baru-baru ini.
Bercerita mengenai persediaan raya, menurut Syamel, dia menyerahkan urusan memilih warna baju sedondon di tangan isteri sama seperti tahun sebelumnya.
“Setiap tahun Ernie yang akan pilih baju. Tahun lepas Ernie pilih warna kuning tak sesuai dengan warna kulit saya. Tahun ini saya minta dia pilih warna selamat, insyaAllah okay.
“Tahun lalu tema kami warna kuning. Tak semua orang boleh ‘bawa’ warna kuning terutama Syamel, sekian,” katanya berseloroh.
Untuk rekod, Syamel mendirikan rumah tangga dengan Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, pada 22 Mac 2021.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Khawla Soleha,.