Lajukan internet rumah

Lajukan internet rumah

saufi@mediaprima.com.my

CAPAIAN internet yang perlahan sering menjadi masalah utama buat pengguna sedangkan perkara ini boleh diselesaikan jika menggunakan konfigurasi sesuai dengan penghala.

Berikut adalah 10 tip pengguna untuk meningkatkan rangkaian internet di rumah.

1. Letak penghala di lokasi tengah dan terbuka

Kedudukan penghala di tengah rumah dan jauh dari halangan seperti dinding konkrit atau perabot besar dapat membantu pancaran WiFi tersebar lebih sekata ke seluruh ruang.

2. Elakkan meletak penghala berdekatan barang elektrik berat

Jauhkan router daripada televisyen, ketuhar gelombang mikro dan telefon tanpa wayar yang boleh mengganggu isyarat WiFi.

3. Tingkatkan antena atau gunakan penghala antena luaran

Penghala dengan antena boleh laras membolehkan pengguna mengarah isyarat ke kawasan rumah yang lemah liputannya.

4. Gunakan jalur frekuensi 5GHz jika peranti menyokong

Penghala moden biasanya menawarkan dua jalur: 2.4GHz (jauh tetapi perlahan) dan 5GHz (pantas tetapi lebih dekat). Gunakan 5GHz untuk prestasi lebih baik dalam jarak dekat.

5. Kemas kini perisian penghala secara berkala

Versi operasi (Firmware) yang terkini bukan sahaja menambah baik prestasi, malah melindungi rangkaian daripada kelemahan keselamatan.

6. Gunakan kata laluan WiFi yang kukuh dan privasi

Elakkan capaian tidak sah oleh jiran atau pihak luar yang boleh menjejaskan kelajuan internet.

7. Guna penguat isyarat (WiFi Extender atau Mesh System)

Bagi rumah dua tingkat atau bersaiz besar, penggunaan alat seperti Penjangkau WiFi (WiFi Extender) atau sistem ‘mesh’ dapat membantu memperluas liputan tanpa kabel tambahan.

8. Hadkan peranti aktif dalam satu masa

Penggunaan terlalu banyak peranti serentak boleh menjejaskan prestasi jalur lebar. Tutup sambungan peranti yang tidak digunakan.

9. Pilih saluran WiFi yang kurang sesak

Kadangkala penghala automatik memilih saluran yang digunakan ramai pengguna. Melalui tetapan manual, pengguna boleh memilih saluran yang kurang sesak untuk isyarat lebih stabil.

10. Reboot penghala sekali-sekala

‘Restart’ penghala sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menyegarkan memori dan menstabilkan prestasi sistem rangkaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top