Penyanyi popular, Black Hanifah dan Adira Suhaimi kini tampil dengan lagu raya baharu mereka pada tahun ini berjudul Syawal Rindu, yang menjanjikan sentuhan emosi dan nostalgia buat peminat muzik tanah air.
Lagu dengan gabungan melodi syahdu serta lirik yang menyentuh perasaan ini mengisahkan tentang kerinduan dan kasih terhadap keluarga serta kenangan lebaran yang tidak dapat diraikan bersama orang tersayang.
Dicipta oleh Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan, dan Kelana dengan lirik oleh Aiman Zaidi, lagu ini menampilkan gabungan vokal mantap daripada Black dan Adira sekaligus menjadikan kolaborasi ini satu karya raya yang istimewa.
Menurut Black, lagu ini memiliki makna yang mendalam kerana ia menggambarkan situasi ramai individu yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau beraya bersama keluarga.
“Saya percaya ramai yang akan dapat menghayati mesej dalam lagu ini, terutama mereka yang berjauhan daripada insan tersayang pada musim perayaan.
“Kesenian dalam lirik dan melodi lagu ini mampu menyentuh perasaan setiap pendengar, membawa mereka merasai betapa pentingnya kasih sayang dan kebersamaan, terutamanya apabila jarak dan waktu menjadi penghalang untuk bersatu di tengah kemeriahan Aidilfitri.
“Semua ini disampaikan dengan penuh penghayatan dalam bait-bait lirik, mencipta gambaran nyata tentang kerinduan yang mendalam yang mungkin dialami oleh ramai orang di luar sana,” katanya.
Manakala, Adira turut meluahkan rasa teruja dapat berduet bersama Black menerusi lagu tersebut.
“Saya amat bersyukur dan teruja dapat menyampaikan lagu ini bersama Black. Kami saling memberi inspirasi dan sokongan, sekali gus mencipta suasana kreatif dan penuh semangat.
“Saya juga bersyukur dapat menimba ilmu daripada Black, seorang penyanyi berpengalaman dan berbakat dalam industri muzik.
“Dengan kolaborasi ini, saya yakin lagu ini akan menjadi sesuatu yang istimewa dan mampu menyentuh hati peminat.
“Ditambah dengan lirik yang mendalam, saya berharap pendengar dapat lebih menghayati sambutan Aidilfitri menerusi lagu ini,” kongsinya.