Lagu ‘Hening Rindu’ nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Dengan kemenangan ini, Marsha yang berusia 39 tahun membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 dan trofi.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, serta lirik oleh Ikhwan Fatanna, berjaya mencipta sejarah apabila menerima standing ovation daripada penonton atas persembahan vokal yang luar biasa.
Nadeera dan Akim And The Majistret lengkapkan Top 3!

Naib juara pula menjadi milik Nadeera menerusi lagu ‘Bukan Lagi Kita’, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Dengan kemenangan ini, Nadeera membawa pulang RM50,000 dan trofi.
Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh Akim And The Majistret dengan lagu ‘Saksama’, hasil ciptaan kumpulan tersebut bersama Bunga Cantik sebagai penulis lirik. Mereka membawa pulang hadiah RM30,000 berserta trofi.
Kategori vokal dan persembahan terbaik..

Anugerah Vokal Terbaik menjadi milik Ernie Zakri menerusi lagu Aura, sekaligus membawa pulang RM12,000 berserta trofi.
Manakala kategori Persembahan Terbaik dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah, membawa pulang RM12,000 dan trofi. Kemenangan ini juga menyaksikan Aina mencipta sejarah apabila berjaya menjuarai kategori ini selama empat tahun berturut-turut!
Selain itu, Aina Abdul turut membawa pulang Anugerah Pilihan Unifi Mobile.
AJL39 yang bertemakan Nada Rasa telah dikendalikan oleh gandingan hos Naz Rahman dan Sissy Iman. Anugerah berprestij ini disiarkan secara langsung di TV3 dan terus mendapat perhatian sebagai antara pentas berprestij dalam industri muzik tanah air.
Tahniah kepada semua pemenang!
