Labur besar asah vokal

Labur besar asah vokal

georgie@hmetro.com.my

WALAUPUN bergelar pakar vokal dan berpengalaman luas sebagai penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat, 52, masih menuntut ilmu daripada guru vokal yang jauh lebih arif untuk memperbaiki mutu dan tahap nyanyiannya.

Syafinaz juga tidak kisah berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat guru vokal dari Indonesia. Katanya, pelaburan itu teramat penting buat jangka panjang dalam kariernya.

Inisiatif itu juga dilakukannya dalam mempersiapkan diri untuk beraksi di Konsert Classical Treasures di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 April depan.

“Saya bekerja keras memastikan konsert ini lancar. Saya percaya jika kita mahukan sesuatu, kita perlu melabur dari segi masa, tenaga dan wang untuknya.

“Untuk konsert ini, saya undang bekas pensyarah yang kini menetap di Indonesia untuk memberi bimbingan. Sebelum ini, saya pernah belajar vokal secara atas talian, tetapi saya tak puas,” katanya.

Pada konsert itu, Syafinaz bakal mempersembahkan dua karya klasikal agung iaitu lagu Juliet’s Waltz dari opera Romeo And Juliet ciptaan Gounod dan Der Holle Rache atau Queen Of The Night (The Magic Flute ciptaan Mozart).

Persembahan itu bakal melakar sejarah manis dalam karier seninya kerana sekian lama mengidam beraksi di DFP. Selain itu, menjadi impian pejuang muzik klasikal sepertinya untuk memijak pentas itu.

Justeru, Syafinaz sangat bekerja keras dari segala aspek dan terpaksa ‘mengorbankan’ seketika nikmat Aidilfitrinya nanti. Dia perlu menjaga rapi pemakanan demi menjaga suara menjelang konsert.

“Selain bersenam, saya juga jaga pemakanan dan mengurangkan juadah pedas dan berminyak. Disebabkan konsert pada musim Aidilfitri, saya kena hindari makanan berat.

“Selepas konsert selesai, baru boleh sambung beraya,” katanya.

Cukup menggembirakan Syafinaz juga adalah apabila penampilannya itu sebenarnya secara tidak langsung menunaikan permintaan segelintir peminat.

Menurutnya, ada ramai peminat menyamakannya dengan watak Cheon Seo Jin dalam drama Korea, The Penthouse. Queen of The Night juga popular dalam siri itu dan ada ingin melihatnya nyanyikan lagu itu.

Selain itu, dia menjadikan pentas itu sebagai medan mendidik penonton mengenai lagu klasikal. Dia amat teruja diundang membuat persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Lagu klasikal ini tidak sama dengan pop. Susunan muzik pop teratur iaitu ada rangkap dan diikuti korus, sangat ringkas. Untuk klasikal iaitu lagu simfoni, ada pergerakan tertentu seperti perlahan, laju dan berunsur dramatik.

“Jika ini kali pertama anda menyaksikan konsert klasikal, ini peluang buat anda pelajari dan fahami seni muzik itu. Jadi, saya akan tunaikan permintaan mereka.

“Walaupun kedua-dua lagu ini sangat mencabar, saya seronok menyanyikannya,” katanya yang juga juri tetap musim ke-11 program realiti, Gegar Vaganza (GV11) ini.

Konsert Classical Treasures bakal dipimpin Konduktor Residen MPO, Gerard Salonga. Selain nyanyian solo Syafinaz, turut dipersembahkan adalah Overture of The Barber of Seville ciptaan Rossini dan Nocturne in E Flat karya Chopin.

MPO akan mengakhiri konsert dengan karya hebat iaitu Hungarian Rhapsody No 2 ciptaan Liszt dan Symphony No 7 ciptaan Beethoven.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top