hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatat kejayaan bersejarah apabila merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 12 peratus bersandarkan pendapatan bersih RM12.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK24), tertinggi sejak penubuhannya pada 2007.
Dana pencen sektor awam itu turut menyaksikan pertumbuhan saiz dana sebanyak RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion, mencerminkan peningkatan 9.3 peratus berbanding RM169.8 bilion pada tahun sebelumnya.
“Selepas mengambil kira pengeluaran sebanyak RM5 bilion untuk membiayai sebahagian tanggungan pencen kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM20.8 bilion dari tahun ke tahun menonjolkan keberkesanan strategi pelaburan berdisiplin KWAP serta fokusnya terhadap pertumbuhan mampan jangka panjang.
“Sejak penubuhannya pada 2007, saiz dana KWAP telah meningkat empat kali ganda dengan purata pertumbuhan tahunan 9.1 peratus.
“KWAP turut mencatat pendapatan bersih tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM12.9 bilion pada 2024 dengan pulangan keseluruhan 12 peratus,” menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dari segi pelaburan, KWAP berkata, portfolio domestiknya menjana pulangan 12.9 peratus, manakala portfolio antarabangsa merekodkan pulangan 9.0 peratus.
“Keputusan ini didorong oleh prestasi kukuh ekuiti awam yang memberikan jumlah pulangan 21.9 peratus, dengan ekuiti domestik mencapai 23.2 peratus dan ekuiti antarabangsa memperoleh 16.9 peratus.
“Strategi peruntukan aset dana ini kekal pelbagai dan berdaya tahan, dengan 74.6 peratus daripada portfolio dilaburkan dalam negara dan 25.4 peratus di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sehingga 31 Disember 2024, portfolio KWAP diperuntukkan seperti berikut: 51.7 peratus dalam ekuiti, 32.4 peratus dalam pendapatan tetap, 5.4 peratus dalam ekuiti persendirian, 5.2 peratus dalam hartanah dan 2.2 peratus dalam infrastruktur, dengan baki dalam pengurusan tunai bagi memastikan kecairan.
“Strategi peruntukan aset ini membolehkan KWAP mengoptimumkan pulangan pelaburannya dalam keadaan pasaran yang dinamik,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, prestasi cemerlang pada 2024 mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin yang disokong oleh daya tahan ekonomi negara.
“Pasaran domestik yang stabil serta dasar proaktif di bawah Kerajaan MADANI memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pulangan, membolehkan kami mencipta nilai mampan jangka panjang untuk para pemegang kepentingan.
“Walaupun ketidaktentuan global dan risiko geopolitik terus wujud, KWAP akan kekal berwaspada dengan menyesuaikan strategi bagi mengurangkan risiko serta merebut peluang baharu,” katanya.
Pengerusi KWAP, Datuk Johan Mahmood Merican pula menegaskan bahawa prestasi luar biasa tahun ini menyerlahkan keberkesanan strategi pelaburan dan dedikasi pasukan pengurusan dana itu.
“Pencapaian terbaik setakat ini mencerminkan komitmen berterusan KWAP dalam menyokong kelestarian kewangan jangka panjang ekosistem pencen.
“Kami yakin bahawa tumpuan terhadap pelaburan strategik dan kemampanan akan terus mengukuhkan peranan KWAP dalam ekosistem pencen Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd